pen sekoding

Siti sudah 32 tahun (Awet muda)

 

pix_gal0
Tak sempat pilih hadiah kerana sibuk rakaman bual bicara, AJL

USIA penyanyi nombor satu negara, Datuk Siti Nurhaliza Taruddin bertambah setahun lagi. Dan pada usia 32 tahun, memang banyak yang dilalui dan dikecapi wanita cekal dari Kuala Lipis, Pahang ini.
Saban tahun, tidak pernah gagal Siti Nurhaliza diraikan suami tercinta, keluarga, sahabat handai dan kakitangannya. Jika tahun lalu ulang tahun kelahirannya diserikan dengan kehadiran teman akrab dari seberang, Krisdayanti.
Tahun ini, masih lagi memilih lokasi sama iaitu hotel terkemuka yang terletak di tengah-tengah segi tiga emas dengan kehadiran artis terkenal tanah air memenuhi segenap dewan besar.

Lebih indah, selain ibu yang sendiri dan ibu mentua, majlis penuh bermakna yang diraikan awal sehari dari tarikh sebenar kelahiran penyanyi itu turut disertai semua empat anak tirinya, Mohd Anas, Mohd Adib, Mohd Ashraf dan Mohd Aazief.

Tahun ini, Siti tampil anggun dengan gaun rona hijau zamrud sementara suaminya Datuk Khalid Muhammad Jiwa selesa berkemeja rona hijau pucuk pisang.

Tahun demi tahun, tiada lain diharapkan penyanyi yang kini melebarkan sayapnya ke bidang pengacaraan selain kehidupan diberkati dan lebih baik tahun ini. Malah kami sendiri buntu idea untuk bertanyakan soalan kepadanya. Saban tahun soalan yang hampir sama diajukan. Apa harapan Siti? Apakah hadiah istimewa pemberian suami serta macam-macam lagi.
Siti juga bagai boleh menjangka soalan yang akan diajukan. Rasanya jika boleh diputarkan kembali jawapannya tahun lalu. Mungkin sudah lama dia berbuat demikian.

Namun bergelar seorang profesional, meskipun mungkin bosan dengan soalan yang sama, dia menjawab pertanyaan itu dengan senyuman manis.

“Harapan dari segi kehidupan kalau boleh Siti ingin perbaiki lagi kekurangan, kelemahan dan memantapkan lagi karier, perniagaan dan meliputi segala-galanya. Siti juga mahu menjadi isteri, wanita dan ibu yang baik. Insya Allah,” ulas Siti mengenai harapannya seiring dengan pertambahan usia setahun lagi.

Mengenai hadiah istimewa pemberian suami tercinta, ujar Siti, dia masih belum berkesempatan keluar mencari hadiah yang dihajati kerana jadualnya agak sibuk sejak dua minggu kebelakangan ini dengan rakaman program bual bicaranya, Siti... Hiburan dan Inspirasi dan menjayakan Anugerah Juara Lagu (AJL) ke-25 pada Ahad lalu.

“Siti tahu mengenai majlis hari jadi ini tetapi Siti tidak ambil tahu langsung mengenai persiapan dan sebagainya kerana sibuk dengan rakaman program bual bicara pertama Siti. Semuanya diuruskan suami, keluarga dan staf. Pada waktu sama, Siti juga sibuk dengan persiapan untuk AJL 25. Jadi Siti tak sempat memikirkan hadiah apa yang Siti mahukan.

“Mungkin selepas majlis ini barulah Siti dapat keluar bersama suami untuk mencari hadiah. Setakat ini Siti mahukan sebuah komputer riba,” dedah Siti yang kelihatan agak malu-malu apabila menyebut mengenai hadiah yang diinginkan sempena hari lahirnya.

Antara yang hadir meraikan majlis hari jadi Siti ialah Aznil Nawawi, Lisa Surihani, Faizal Tahir, Ziela Jalil, Erma Fatima, Ezlynn, Fizo Omar, Sharifah Shahira, Ezlynn, Yuna, Ana Raffali dan Qi.

Bukan kerana terpaksa

Masih baru dalam bidang pengacaraan, Siti akui, dia memerlukan sedikit lagi masa untuk memantapkan lagi gaya pengacaraan. Dia menafikan terjerumus dalam bidang pengacaraan kerana terikat dengan kehendak kakak iparnya yang juga pemilik Global Station iaitu syarikat yang menerbitkan program berkenaan, Datin Zaiton Mohd Jiwa.

“Seperti pernah Siti katakan sebelum ini, Siti pernah ditawarkan untuk menjadi pengacara. Tapi ketika itu Siti belum bersedia. Apabila Global Station menawarkan kepada Siti tugas itu, Siti fikir sekarang sudah tepat pada waktunya. Mereka tidak mendesak, sebaliknya mereka mengikut waktu yang Siti mahukan.

“Siti buat bukan sebab terpaksa disebabkan pemiliknya adalah kakak ipar Siti. Jika iya sekalipun, apa salahnya. Bagi Siti, tidak salah jika Siti hendak membantu keluarga sendiri. Namun apa yang penting bagi Siti sebenarnya, program itu haruslah berkualiti kerana ia membabitkan nama Siti,” katanya yang turut mengambil kesempatan pada malam itu mengumumkan projek terbaru syarikat kosmetiknya Simply Siti.

Serentak dengan majlis hari jadinya juga, Siti melancarkan kempen pencarian Wajah-Wajah Simply Siti iaitu pencarian seberapa ramai pengguna produk jenama miliknya tidak kira lelaki mahupun wanita untuk dipaparkan di Wall Of Fame, Malam Gala Simply 1.

Kata Siti, kempen itu diadakan bagi menghargai pengguna yang selama ini memberikan sokongan kepada produk kosmetik pertama keluaran syarikatnya.